Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa Sukinah Zulkifli, 37, berkata, dia meninggalkan premis berkenaan kira-kira 30 minit bagi mengambil anaknya di sekolah berhampiran dan terkejut apabila mendapati pakaiannya hilang.

Katanya, baju yang dikebas termasuk pakaian kerja suaminya di samping baju seragam taekwando dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) milik anaknya.

“Sekembalinya ke kedai, saya tengok mesin pengering yang digunakan sudah kosong. Saya segera menghubungi nombor pihak pengurusan kedai dobi mengenai kejadian itu dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Pada mulanya saya sangka mungkin ada orang tersalah ambil namun, selepas melihat rakaman CCTV rupa-rupanya baju saya dicuri,” katanya di sini hari ini.

Sukinah berkata, dia turut memuat naik kes kehilangan pakaiannya dan rakaman CCTV itu dalam laman sosialnya bagi membolehkan orang ramai lebih berwaspada apabila meninggalkan baju untuk dicuci di kedai dobi layan diri.

“Saya tinggal baju pun tak lama sebab ada urusan lain. Bagi golongan ibu, masa itu emas jadi sementara tunggu kain siap kering dalam 30 minit, macam-macam kerja lain saya boleh buat misalnya mengambil anak di sekolah,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Rakaman CCTV memaparkan imej seorang lelaki yang memakai baju T berwarna biru dan berkopiah yang bertindak membuka pintu mesin pengering ketika ia sedang berpusing dan melarikan kesemua pakaian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - UTUSAN ONLINE