Jurucakapnya, Raggir Jessy Rithaudeen berkata, siasatan terhadap Presiden PKR itu perlu dilakukan jika dakwaan beliau benar kerana adalah satu kesalahan jika menyimpan atau menyembunyikan bukti kes.

Jelas Raggir Jessy, Anwar sepatutnya menyerahkan ‘bukti’ atau maklumat itu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun, beliau sewenang-wenangnya membuat pendedahan serta kenyataan kononnya mengetahui jumlah dana yang diterima pemimpin Pas dan identiti penerima.

“Jika betul, kita gesa polis siasat Anwar agar dapat menyerahkan ‘bukti’ tersebut serta menghentikan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis (IPD) Subang Jaya, di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam sebuah forum di Nilai, Negeri Sembilan mendakwa mengetahui jumlah dana yang diterima pemimpin Pas dan identiti penerima serta akan mendedahkannya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pendedahan mengenai dakwaan wang RM90 juta disalurkan kepada Pas itu memerlukan masa kerana masih disiasat oleh SPRM.

“Saya ada maklumat khusus beberapa angka dan siapa yang dapat, saya sudah lihat akaunnya. Saya tidak akan sebut sekarang, beri tempoh sedikit, benda ini belum tutup,” katanya.- UTUSAN ONLINE