Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, tindakan tegas akan menjadi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengancam nyawa.

“Aksi dua kanak-kanak berpaut pada bumbung kereta yang tersebar dalam media sosial perlu dipandang serius. Ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan perbuatan itu membahayakan diri kanak-kanak tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.

“Sememangnya tiada toleransi dan kompromi terhadap perbuatan sebegini dan berharap agar pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cai Tung mengucapkan tahniah kepada tindakan pantas polis menahan pemandu kereta Toyota Vios yang membawa kanak-kanak tersebut di sebuah rumah di Taman Nusa Damai di Pasir Gudang pada pukul 7.45 petang semalam.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak agar tidak melakukan sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri apatah lagi perbuatan yang boleh mengancam nyawa kanak-kanak.

“Insiden kemalangan yang meragut nyawa remaja basikal lajak pada dua tahun lalu seharusnya membuka mata dan menjadi pengajaran kepada semua pihak. Keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain haruslah menjadi keutamaan dan tanggungjawab bersama,” katanya. - UTUSAN ONLINE