Kesemua suspek yang berusia 45 hingga 49 tahun itu dicekup dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 pagi dan mereka kini ditahan reman tujuh hari sehingga 26 Ogos depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah ini, Pemangku Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas 514 biji pil berwarna merah disyaki dadah dan enam biji pil berwarna hijau disyaki dadah yang dianggarkan bernilai RM7,800.

"Hasil pemeriksaan, kesemua bahan yang disyaki dadah itu ditemukan daripada suspek pertama manakala suspek kedua dan ketiga, kita tidak menemui apa-apa barang (dadah).

"Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kemaman untuk siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka disahkan positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan turut mendapati mereka mendapat bekalan dadah daripada seorang rakan di Kuala Terengganu dan usaha mengesan suspek terbabit sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE