Ketiga-tiga mereka berusia 7 sehingga 15 tahun itu, dikatakan telah keluar dari rumah bapa saudaranya kira-kira pukul 7.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, susulan daripada itu, bapa saudaranya kemudiannya telah menghubungi ibu kandung mereka memaklumkan mengenai kehilangan tersebut.

Ujarnya, namun, ibu kandungnya yang tinggal di Banting bagaimanapun memaklumkan tiga anaknya itu tiada di rumahnya.

“Bimbang akan keselamatan mereka, ibu kandung kanak-kanak tersebut meminta bapa saudara mereka membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, Cheras di sini.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, bapa saudara kanak-kanak tersebut telah dihubungi oleh ibu saudara mereka di Johor Bahru memaklumkan tiga beradik itu ada di rumah mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir memberitahu, sehubungan itu, laporan polis yang dibuat oleh lelaki terbabit kemudiannya ditarik semula.

“Hasil maklumat yang diperoleh, ketiga-tiga mereka dikatakan telah ke rumah ibu saudara mereka di Johor Bahru dengan menaiki bas

“Ini merupakan kejadian kali pertama tiga beradik itu keluar tanpa pengetahuan bapa saudaranya sejak mereka tinggal bersamanya hujung tahun lalu,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE