Setiap mangsa dianggarkan kerugian antara RM6,714 hingga RM56,000 selepas ditawarkan membeli lot-lot tanah oleh suspek yang menjalankan kegiatan itu sejak Jun 2018.

Salah seorang mangsa, Sahar Said, 58, berkata, dia mengenali lelaki terbabit dalam majlis Hari Raya Aidilfitri tahun lalu dan dipujuk membeli lot tanah seluas 0.8 hektar yang mempunyai hasil sawit dengan dijanjikan keuntungan RM2,000 sebulan.

“Lelaki itu juga mendakwa dia mendapat 12 lot tanah anugerah yang akan dimajukan oleh kerajaan dengan sebuah syarikat swasta sebagai ‘Bandar Baharu Serting’ dalam tempoh dua tahun lagi.

“Dakwanya nilai tanah itu akan melonjak tinggi sehingga RM400,000 bagi setiap lot dan akan memberi pulangan lumayan kepada pembeli.

“Ekoran terpedaya dengan kata-katanya, saya bersama tiga adik-beradik membeli lima lot tanah, manakala beberapa rakan saya turut membeli tanah berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM73,988,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Sahar yang merupakan pesara kerajaan, selepas membuat pembayaran, timbul rasa curiga lalu beliau meminta Zul Keledek yang juga bekas kakitangan bank supaya menunjukkan lokasi tanah berkenaan.

“Dia selalu mengelak dan memberi pelbagai alasan setiap kali diminta berbuat demikian. Pemeriksaan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol mendapati geran tanah yang ditunjukkan kepada kami sebelum ini juga adalah palsu,” katanya.

Sahar berkata, beliau telah membuat laporan polis pada Oktober tahun lalu dan lelaki itu yang berasal dari Ampangan di sini, berjanji memulangkan wang mereka, namun masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, melalui perkongsian dalam media sosial, dia mendapat tahu bahawa lebih 30 individu ditipu oleh Zul Keledek termasuk di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Selangor.

Katanya, lelaki itu menggunakan akaun bank milik isterinya yang bekerja sebagai kakitangan awam di sini untuk transaksi wang penjualan tanah terbabit.

“Saya diberitahu dia masih aktif menipu walaupun banyak laporan polis dibuat. Mangsa terbaharunya adalah seorang lelaki yang membayar RM8,000 untuk satu lot tanah kira-kira tiga bulan lalu,” katanya yang mendakwa suspek turut terlibat dalam penipuan penjualan kenderaan.

Beliau meminta orang ramai khususnya pesara kerajaan yang menjadi sasaran utama Zul Keledek supaya berwaspada dan berharap pihak polis mengambil tindakan segera bagi menyekat kegiatannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu yang kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE