Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua individu berusia lingkungan 23 hingga 43 tahun ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika kapal peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan Op Jaksa.

Katanya, bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu berjaya dijejak hasil maklumat yang diterima Pusat Operasi Maritim Negeri Johor dan pantauan radar Area Control Center (ACC) Johor di Tanjung Piai.

“Modus Operandi yang digunakan dengan menyasarkan kapal-kapal yang bergerak perlahan dan mempunyai freeboard (ketinggian dari aras permukaan laut) yang rendah. Mereka melakukan aktiviti ini secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata.

 

“Penahanan bot tersebut, kita menahan tiga lelaki warga Indonesia dan merampas kira-kira 2 tan besi buruk. Bot dan semua individu yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Aminuddin berkata, pihaknya akan sentiasa mengoptimumkan segala sumber yang ada untuk mengekang dan membanteras kegiatan-kegiatan menyalahi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan atau penyaluran maklumat hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199041 manakala bagi sebarang kejadian kecemasan di laut hubungi MERS 999,” katanya. - UTUSAN ONLINE