Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di Mahkamah Majistret Besut di sini mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren memasuki pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi anggota polis.

Suspek ditahan pada pukul 4.15 petang semalam di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Selasih.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu, Mohd. Zamri parah pada kepala di samping putus ibu jari kanan akibat ditetak dengan parang panjang oleh suspek yang juga merupakan jirannya.

Sebelum kejadian, mangsa yang baru tiba di rumahnya untuk menyalin pakaian didatangi suspek yang menaiki Perodua Kembara untuk membuat aduan berkaitan tanah.

Ketika berbual suspek tiba-tiba mengeluarkan parang panjang dari dalam keretanya lalu menetak Mohd. Zamri di belakang kepala hingga mangsa terjatuh dan ketika cubaan menyelamatkan diri, lelaki yang dipercayai bermasalah mental itu sekali lagi melibas senjata berkenaan lalu terkena pada ibu jari kanan mangsa hingga terputus.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut oleh isterinya sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan untuk rawatan menyambung semula jari berkenaan. - UTUSAN ONLINE