Walaupun berat hati, pasangan suami isteri berumur 54 dan 48 tahun itu rela keluar dari rumah sendiri dan tinggal dengan seorang lagi anak perempuan tidak jauh dari rumah mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Rumah keluarga itu didiami anak sulung mereka berumur 34 tahun itu yang meneruskan aktiviti menagih dadah dan sehinggalah pagi semalam, sepasukan anggota bahagian penguatkuasa keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyerbu rumah berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, ketika serbuan itu dibuat hasil laporan penduduk kampung, pemuda terbabit sedang tidur dengan sebilah senjata tajam di dapati terselit di pinggangnya.

"Ketika pemeriksaan dibuat kita dapati suspek dalam keadaan tidak terurus termasuk pakaian kotor dan berbau busuk.    

"Keadaan rumah juga menyedihkan, kotor, bersepah dan penuh dengan sampah sarap manakala dinding, lantai dan jendela terkopak di sana sini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai buruh itu mengaku menagih pil kuda sejak 10 tahun lalu dan dia mengambil dua biji pil kuda setiap hari selain pernah ditahan di Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Benta, Pahang dan Penjara Sungai Buloh.

Suspek kini direman selama 14 hari dan dia disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan (APD R&P) 1983.

- UTUSAN ONLINE