Tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan termasuk orang awam setakat ini adalah sebanyak 55 orang.

Menurut sumber, kesemua lelaki tersebut berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun dan ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara pukul 10 pagi hingga 4.15 petang hari ini.

“Kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ Pulau Pinang berkenaan dipercayai menerima bayaran bulanan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan dan sehingga kini jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah itu sudah melebihi RM140,000.

“Tangkapan ini merupakan siasatan peringkat kedua dan kita tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan hari ini akan direman kira-kira pukul 10.30 pagi esok di Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Terdahulu, Azam berkata, kesemua pegawai penguat kuasa yang dikehendaki memberikan keterangan pada hari ini telah diberikan notis.

“Sepatutnya lebih daripada 22 yang dipanggil, namun SPRM negeri mempunyai kekangan dari segi penyediaan bilik dan juga pegawai penyiasat, jadi yang selebihnya kita akan panggil kemudian,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE