Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas bedah siasat tulang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, polis masih belum dapat mengaitkan penemuan tulang itu dengan seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang di sini sejak 23 Mac lalu.

“Beberapa serpihan tulang termasuk satu tulang paha ditemukan sepasukan orang awam yang mencari mangsa dan memaklumkannya kepada pihak polis.

“Berdasarkan keadaan tulang itu, kita menganggarkan ia merupakan tulang yang agak lama. Bagaimanapun, kita tetap melakukan ujian lanjut di Jabatan Forensik HRBP semalam dan hasil bedah siasat mendapati ia tulang manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Tambah Hasron Nazri, serpihan tulang tersebut telah dibawa ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor hari ini untuk mengenal pasti pemiliknya.

“Selain serpihan tulang, spesimen darah ahli keluarga mangsa turut dihantar ke tempat sama bagi membuat padanan asid deoksiribonukleik (DNA).

“Keputusan padanan tersebut hanya dapat diperoleh dalam tempoh satu hingga dua bulan namun kita akan mohon supaya keputusannya diketahui lebih awal,” katanya. - UTUSAN ONLINE