Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dilakukan ketika mangsa berusia 18 tahun itu berada dalam keadaan lemah serta separa sedar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan dibuat majikan mangsa berusia 51 tahun yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pengsan dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran pada pukul 7.30 malam sebelum dibawa ke Hospital Selayang dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, ketika di hospital, mangsa dilihat menangis dan memaklumkan telah dicabul oleh pembantu perubatan semasa dalam ambulans berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arsad, remaja itu memaklumkan dia dihampiri suspek yang bertindak mencabul kehormatannya.

Jelasnya, bertindak atas laporan itu, kita telah menahan lelaki berusia 22 tahun di sebuah pusat perubatan swasta.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 27 April nanti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. - UTUSAN ONLINE