Remaja berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 pagi kelmarin selepas pemeriksaan oleh sekumpulan anggota polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) di dalam beg galasnya menemukan dadah tersebut.

Menurut Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil siasatan mendapati, selain untuk kegunaan sendiri, dadah tersebut juga adalah untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Tambah beliau, selain dadah itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM1,000 daripada suspek dan menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM26,000.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B; 39A(1); 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar-pengedar dadah di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini. - UTUSAN ONLINE