Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, hasil maklumat orang awam, pistol berwarna perak tersebut ditemukan dalam saluran paip tepi parit di kawasan Taman Jelita pada pukul 2 petang dengan nombor siri telah dipadam.

“Pistol itu jenis Walther model PPK buatan Jerman, satu kelopak pistol tertera tulisan Manurhin, PPK 7.65 buatan Perancis dan sebutir peluru hidup berwarna kuning tertera tulisan Thai Arms 380 Auto,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pistol tersebut adalah senjata api kedua ditemukan selepas pistol pertama dirampas daripada salah seorang suspek yang berjaya ditangkap pada hari kejadian.

Dalam kejadian tembak-menembak pada Khamis, dua suspek perompak berjaya ditangkap polis namun seorang anggota polis Korporal William Bell Jol, 55, daripada Unit Peronda Kereta (MPV) Miri cedera pada lengan kiri.

Suspek lelaki berumur 50 tahun turut cedera pada kedua-dua belah kaki semasa kejadian dan seorang lagi suspek berumur 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA