Dalam pergaduhan pada Khamis lalu itu telah dirakam oleh seorang pelajar menggunakan telefon pintarnya yang kemudian dimuat naik dalam laman sosialnya sehingga menjadi tular.

Bagaimanapun, punca pergaduhan dua pelajar lelaki yang kedua-duanya berumur 16 tahun itu masih tidak dapat dipastikan.

Dalam rakaman video itu menunjukkan seorang pelajar yang memakai seragam kolej hanya melihat pergaduhan itu tanpa cuba untuk meleraikan keadaan.

Dia hanya menjadi pihak pendamai selepas serangan terakhir pada lutut pelajar terbabit.

Difahamkan, berikutan pergaduhan yang tular dalam talian itu, ibu bapa mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis hari ini.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad memberitahu Bernama, siasatan berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

Beliau berkata, mangsa berada di balai polis semasa laporan dibuat dan kenyataannya diambil untuk siasatan lanjut.

“Kami masih belum mendapat butiran lengkap kejadian itu daripada pihak berkuasa kolej dan kami ingin menasihati orang ramai supaya tidak berkongsi rakaman video itu di mana-mana platform media sosial.

“Mangsa telah memberikan kerjasama, kami akan mmengenal pasti pelajar lain yang terlibat untuk soal siasat,” katanya.- BERNAMA