Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, laporan polis itu dibuat oleh ibu kepada mangsa yang berusia 15 tahun pada 10 April lalu.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengambil keterangan pihak pentadbiran ISKL pada 12 April lalu dan pihak sekolah memaklumkan akan memberikan segala maklumat selepas siasatan dalaman mereka selesai.

“Setakat ini, pihak sekolah telah menggantung persekolahan suspek yang berusia 14 tahun selama tiga hari sehingga 12 April lalu.

“Kita juga telah mengambil keterangan empat orang yang merupakan pengadu dan saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Azmi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Emilia Jamil (016-2479017) atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Shahrizal Salleh di talian 017-7134705. - UTUSAN ONLINE