Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitenden Muhammad Izzudin Runggai berkata, mayat tidak berbaju, berseluar panjang berwarna gelap serta bertali pinggang itu ditemukan orang awam yang berada di jeti berhampiran pada 9.45 pagi.

Menurutnya, lelaki itu berkulit cerah, berusia dalam lingkungan 30 dan 40 tahun, mempunyai tatu rama-rama di dada kiri dan tatu bunga di dada kanan serta memakai cincin perak di jari kiri bertulis Dolce & Gabbana (D&G).

“Polis sukar mengecam identiti mayat itu termasuk bangsa dan kewarganegaraannya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya, mayat itu juga sukar dicam kerana sudah membengkak di bahagian muka dan mata selain kulit badan sudah menggelupas.

“Lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, polis masih mengesan waris untuk tuntutan mayat yang kini berada di Bilik Mayat Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan memohon sesiapa yang mengenali mangsa boleh datang ke mana-mana balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE