Memetik Utusan Borneo Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rosdi Inai berkata, anggotanya yang diketuai Inspektor Lokman Adli, menahan dua kenderaan bernombor pendaftaran Indonesia untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan sekitar pukul 2.40 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 51 tong LPG di dalam setiap kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut.

“Pihak kami kemudian bertindak merampas kesemua tong LPG tersebut selepas pemandunya gagal menunjukkkan sebarang dokumen yang sah berhubung bekalan tersebut.

“Susulan itu, dua lelaki tempatan berusia 48 dan 49 tahun yang menawar dan memberi wang (rasuah) sebanyak RM10,000 sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan undang-undang turut ditangkap,” lapor Utusan Borneo di sini semalam.

Tambah Rosdi, seorang lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun turut ditangkap untuk membantu siasatan.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk wang (rasuah) dan dua kenderaan tersebut mencecah RM179,300.

“Rampasan tong LPG tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar Rosdi.

Sementara itu, dua lelaki tempatan terbabit turut ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat terutama jenayah rentas sempadan boleh menyalurkan terus kepada kami atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE