Dalam kejadian pukul 7.13 petang itu, mangsa yang berketurunan Cina, berusia 28 tahun dan berasal dari Perak maut di tempat kejadian akibat terkena satu das tembakan di bahagian dada.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian bermula apabila tiga daripada empat penjenayah dipercayai berketurunan India yang memakai topi keledar dan ves pantul cahaya masuk ke kedai emas tersebut.

Menurutnya, seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang dipercayai enggan mengikut arahannya.

“Ketiga-tiga suspek kemudian mengaut empat dulang emas dan melarikan diri dengan menaiki dua motosikal yang dijaga oleh seorang lagi rakan jenayah mereka.

“Kejadian dipercayai berlaku antara dua ke tiga minit dan ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi pekerja wanita,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Fadzil memberitahu, siasatan di lokasi kejadian juga menemukan satu kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Tambahnya, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 395 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE