Justeru, sebanyak 30 papan informasi kesedaran antidadah diserahkan kepada IPK Kuala Lumpur dengan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima lima papan untuk diletakkan di sekolah di bawah pentadbiran masing-masing.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, program itu bertujuan memberi pendidikan serta kesedaran kepada pelajar tentang bahaya dadah serta kesannya kepada masyarakat dan masa depan mereka sendiri.

Menurutnya, papan informasi itu dimuatkan dengan visual bertemakan keinsafan dan kesedaran selain disertakan bersama jenis dadah, kesan serta akibat penyalahgunaan kepada manusia.

“Papan informasi itu diberikan kepada enam daerah keseluruhannya merangkumi IPD Dang Wangi, Wangsa Maju, Cheras, Brickfields, Sentul, dan Putrajaya untuk dipasang di sekolah dikenalpasti di daerah masing-masing.

“Papan informasi itu bersaiz 12 kaki persegi akan dipasang pada dinding di kawasan strategik di pekarangan sekolah,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Papan Informasi Kesedaran Anti Dadah kepada IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PJNM, Datuk Zulkifly Ibrahim berkata, remaja di usia dari 13 hingga 17 tahun merupakan peringkat umur mahu meneroka perkara baharu dan berani mencuba bagi remaja yang mana golongan terbabit mudah terpengaruh dengan pelbagai masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

“Konsepnya bercirikan pendidikan dan pencegahan awal yang mudah difahami golongan sasar.

“Trend remaja sekarang yang gemar mengambil dadah sintetik untuk tujuan berhibur amat membimbangkan.Diharap dengan adanya papan informasi ini memberi peringatan kepada mereka untuk menjauhi dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE