Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau mahu PGA termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM) melipat gandakan kawalan dan operasi dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan itu.

Menurutnya, ketiga-tiga perkara itu diberi tumpuan kerana ia boleh mengugat keselamatan negara.

“Kita sedia maklum ketika inilah (musim perayaan) akan berlaku peningkatan dalam aktiviti penyeludupan bahan terlarang terutama mercun yang sememangnya mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

“Perkara itu dapat dilihat apabila sudah ada yang menjadi mangsa (mercun). Begitu dengan bahan-bahan terlarang yang lain (senjata api dan dadah) turut diberikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan bersama anggota PGA di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini semalam.

Selepas berbuka puasa, Acryl Sani menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih bersama pegawai dan anggota.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan; Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah; Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintenden Ramly Poncho.

Acryl Sani memberitahu, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Katanya, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada PGA dan polis dalam usaha mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan dan penyeludupan.

“Kita amat mengalakkan penyaluran maklumat ini bagi memudahkan penugasan pihak kami untuk mengekang aktiviti berkenaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE