Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, hasil bedah siasat oleh Unit Forensik hospital berkenaan dan pengecaman yang dibuat oleh waris mengesahkan mayat yang ditemukan terapung di Pantai Kuala Kemaman dua hari lalu adalah Puah Geok Tin, 57.

"Mayat mangsa diserahkan kepada keluarganya pada pukul 10 pagi di Unit Forensik Hospital Kemaman sambil disaksikan wakil Kedutaan Singapura yang datang ke sini sejak semalam," katanya di sini hari ini.

Kelmarin, mayat Geok Tin yang lengkap berpakaian dengan jaket keselamatan ditemukan terapung di kedudukan 5.4 batu nautika dari pantai tersebut oleh nelayan tempatan.

Geok Tin bersama seorang lagi warga Singapura, Eng Soon, 62, dilaporkan hilang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 rakan yang lain kira-kira pukul 5.40 petang antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing ekoran laut bergelora dan angin kuat.

Sementara itu, wakil Kedutaan Singapura yang enggan dikenali mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan mayat mangsa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Hospital Daerah Kemaman.

Katanya, sebaik tiba di Johor Bahru, Johor petang ini, mayat Geok Tin akan dibawa pulang ke negara asal dengan menaiki kenderaan khas dari Singapura. - UTUSAN ONLINE