Mayat bayi lelaki cukup sifat ditemukan orang awam diletakkan di sebelah tong sampah di Jalan Rejang 1, Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Bayi lelaki cukup sifat tersebut telah dibalut dengan kain sebelum ditemukan wanita kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, ketika kejadian, sebuah lori sampah mahu mengambil sampah sisa pembaikan rumah di tong tersebut.

Ujarnya, namun, wanita berkenaan ternampak segumpulan kain di tepi tong sampah tersebut sebelum dia mengangkat kain itu dan terkejut terdapat bayi di dalamnya.

“Wanita tersebut bagaimanapun tidak mengetahui milik siapa bayi tersebut memandangkan tidak nampak sesiapa disyaki.

“Mayat bayi itu kemudiannya telah dihantar ke forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Tambah Noor Azmi, keadaan bayi tersebut ketika ditemukan masih bertali pusat dan beruri.

“Selain itu, warna kulit bayi itu juga putih kemerahan dan masih belum dikenal pasti identitinya.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bayi tersebut bagaimanapun tidak terdapat sebarang kecederaan dan luka,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE