Suspek berusia 33 tahun yang ditahan dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit sebelum menyeludup bekalan dadah itu keluar ke Indonesia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 9 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan selepas risikan berhubung aktiviti lelaki berkenaan yang memasuki negara sejak Khamis lalu.

“Hasil serbuan di sebuah bilik hotel bajet tersebut menemukan kira-kira 8.2 kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM576,000 dalam lapan bungkusan teh Cina. Siasatan mendapati lelaki berkenaan memasuki negara ini melalui Pelabuhan Klang sejak 18 April lalu bagi mendapatkan bekalan dadah untuk dipasarkan ke negaranya.

“Suspek dipercayai mendapatkan bekalan di negara ini berikutan harga dadah jenis syabu di negaranya adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada pasaran tempatan iaitu sekitar RM70,000 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE