Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, suspek berusia 40 tahun itu sebelum ini pernah datang ke kedai serbaneka sama untuk membuat penukaran wang RM100 yang disyaki palsu.

Menurutnya, setelah cubaan pertama berjaya, suspek datang semula ke kedai serbaneka itu untuk menukar wang namun cubaannya gagal kerana mangsa telah mengecam wajah suspek.

“Mangsa bertindak menahan suspek seperti dalam video yang ditularkan dan selepas itu pihak polis tiba di lokasi kejadian seterusnya melakukan tangkapan serta merampas sebanyak lapan keping wang kertas RM100 yang disyaki palsu daripada suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan sebagai tulen mata wang kertas yang telah dibuat dengan jalan pemalsuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ruslan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa mematuhi undang-undang.

“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Fatma Amira Ahmad Noruddin di talian 011-32309672, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Brickfields, Asisten Superintenden Megat Faizal Megat Fuad (019-5036686),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE