Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, kesemua mereka yang berada di tingkatan empat dan lima itu dikesan terlibat dengan dadah jenis opiat.

Menurutnya, biarpun jumlah itu dilihat terkawal, pihaknya bagaimanapun tetap memandang serius situasi terbabit kerana tidak mahu pertambahan angka pelajar yang terlibat dengan dadah.

“Kita dengan kerjasama Jabatan Pendidikan giat menjalankan pelbagai usaha temasuk membuat ujian saringan air kencing kepada para pelajar tingkatan empat dan lima yang berisiko tinggi cenderung terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kita juga membuat pemantauan secara berkala dan sekiranya terdapat pelajar yang terlibat, program kaunseling akan dilakukan supaya masalah ini dapat dikawal selain memastikan pelajar tidak mengulangi kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Projek Rintis Menangani Penyalahgunaan Dadah, Bahan dan Pelencongan Sosial di sini, hari ini.

Sementara itu, statistik yang dikeluarkan AADK mendapati, hanya seorang pelajar perempuan di Kubang Pasu, dekat sini dikesan positif dadah pada tahun ini.

Statistik sama turut menunjukkan, daerah Kota Setar dan Pokok Sena merekodkan seramai 31 pelajar turut positif pelbagai jenis dadah diikuti 26 orang di Kubang Pasu dan 23 orang di Daerah Kuala Muda.

Malah, seramai 28 orang pelajar di Baling dan Kulim turut positif ujian air kencing, selain lapan pelajar masing-masing di Langkawi dan Sik. - UTUSAN ONLINE