Memetik laporan portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffai berkata, mangsa yang berusia 48 tahun itu pada awalnya berhasrat untuk membuat pinjaman wang berjumlah RM30,000 selepas melihat tawaran iklan di Facebook pada 15 Mac lalu.

“Mangsa kemudian telah dihubungi wakil syarikat yang meminta nombor telefon melalui sistem mesej aplikasi tersebut.

“Tiga wakil syarikat berkenaan turut menghubungi mangsa menggunakan tiga nombor telefon bimbit berbeza bermula pada 16 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Bukhori, mangsa turut melakukan enam transaksi kemasukan wang bagi urusan pinjaman berjumlah RM 6,020 ke akaun bank yang diberikan suspek bermula 19 Mac hingga awal April lepas.

Selepas menyedari ditipu, mangsa kemudian telah membuat laporan polis semalam dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu). - UTUSAN ONLINE