Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen negeri, Kholijah Mohamad berkata, serbuan yang melibatkan 60 pegawai dan anggota penguatkuasa itu telah memeriksa seramai 100 orang pekerja tempatan dan warga asing di kilang yang membuat pintu itu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan seramai 71 orang PATI berjaya ditangkap atas kesalahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah serta melanggar syarat-syarat pas.

“Kesemua yang ditangkap adalah lelaki terdiri daripada 57 warga Bangladesh, 10 warga Vietnam manakala lain-lain terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan serta Myanmar,” katanya di sini hari ini.

Kholijah berkata, siasatan awal mendapati kilang itu memang berani mencabar undang-undang.

“Ini kerana daripada pemeriksaan yang dijalankan majoriti pekerja warga asing di situ tidak mempunyai pasport dan pas yang sah untuk berada dan bekerja di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, siasatan lanjut akan dilaksanakan dan jika sabit kesalahan pengurusan kilang itu bakal berdepan dengan denda sebanyak RM710,000.00 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya. UTUSAN ONLINE