Kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang kepala di samping putus ibu jari kanan akibat ditetak dengan parang panjang oleh lelaki berusia 32 tahun yang juga merupakan jirannya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru pulang ke rumahnya selepas menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja.

Mohd. Zamri kemudian telah didatangi suspek yang tinggal kira-kira 100 meter dari kediamannya dan kedua-dua mereka sempat bersembang di luar rumah sebelum lelaki itu tiba-tiba mengamuk dan mengambil parang panjang di dalam kereta lalu menetak mangsa.

Selepas insiden itu, suspek yang merupakan bekas pengarah sebuah syarikat bertindak melarikan diri dengan kenderaan jenis Perodua Kembara berwarna hitam.

Isteri mangsa yang ketika itu berada di rumah dan menyaksikan kejadian tersebut segera memandu kereta persendirian dan membawa mangsa ke Hospital Besut.

Mohd. Zamri bagaimanapun dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu di Kelantan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Polis memaklumkan suspek berjaya ditahan pada pukul 4.15 petang ini di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Selasih di sini. - UTUSAN ONLINE