Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, daripada jumlah tersebut, kes melibatkan penderaan wanita juga menurun daripada 4,026 pada tahun 2017 kepada 3,947 kes pada tahun lalu.

“Bagi kes penderaan kanak-kanak, sebanyak 456 kes dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu berbanding 429 pada tahun 2017.

“Kuala Lumpur menjadi negeri ke dua tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 62 kes pada tahun lalu berbanding 56 kes yang dicatatkan pada tahun 2017,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Hentikan Keganasan Kanak-Kanak di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kuala Lumpur, Bok Siew Mun.

Sementara itu, mengulas mengenai penurunan angka statistik itu, jelas beliau, ia berpunca daripada peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai.

Tambahnya, bagi memastikan isu keganasan rumah tangga ini dapat ditangani, peranan masyarakat sebagai penyalur maklumat amatlah dialu-alukan. - UTUSAN ONLINE