Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil keputusan DNA itu nanti akan disuai padan sama ada ia bertepatan dengan DNA ibu Mohammad Ashraf Hassan atau ahli keluarganya yang lain.

"Tulang yang dijumpai itu telah diambil untuk dianalisis bagi menentukan tulang manusia atau haiwan.

"Kalau tulang itu adalah tulang manusia, perlu siasatan dari segi DNA untuk sahkan adakah DNA itu sepadan dengan DNA keluarga atau ibu Mohammad Ashraf.

"Keputusan DNA ini akan ambil masa yang lama. Mungkin satu ke dua bulan dan kita akan cuba percepatkan laporan dari Jabatan Kimia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu yang baharu iaitu Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim menggantikan DeputiSuperintenden Raduan Mohamad di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD)
Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Zulkepli mengambil alih jawatan tersebut yang dipangku oleh Ketua Cawangan Khas IPD Pengkalan Hulu, Asisten Superintenden Su Shart Ai Chuan sebelum ini.

Menerusi laporan akhbar hari ini, penduduk kampung yang melakukan pencarian ke atas Mohamad Ashraf Hassan, 29, atau dikenali Acap telah menjumpai tulang berkenaan di dalam Gua Kandu kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Tulang dengan ukuran panjang 15 ke 20 sentimeter seakan-akan tulang betis bersama beberapa serpihan tulang itu bagaimanapun dipercayai adalah tulang lama.

Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.

Operasi mencari lelaki terbabit dilakukan selepas kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis oleh rakannya yang turut sama menyertai perlumbaan lasak itu. - UTUSAN ONLINE