Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kenderaan itu ditemukan oleh pasukan JSJ Hilir Perak kira-kira pukul 5 petang.

“Kenderaan tersebut dilihat diletakkan dalam keadaan mencurigakan di belakang sebuah bangunan di Taman Melor Sejati atau berhampiran Sejati Waterfront, Teluk Intan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut masih dilaporkan hilang bersabit kes curi kenderaan di Kajang dipercayai kenderaan rasmi Pengarah JSJN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadzil, kenderaan itu dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk siasatan lanjut.

18 April lalu, kereta yang digunakan Pengarah JSJN Bukit Aman itu dilaporkan hilang di kawasan meletak kenderaan sebuah restoran satay di Sungai Ramal dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kehilangan Toyota Vellfire berwarna hitam tersebut disedari pemandu kenderaan terbabit berusia 31 tahun.

Difahamkan, kenderaan itu baru sahaja selesai diselenggara di Jinjang, di sini untuk ke Negeri Sembilan.- UTUSAN ONLINE