Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, arahan sudah dikeluarkan Ketua Polis Negara melibatkan seluruh kontinjen polis.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana polis akan sentiasa meningkatkan rondaan di rumah-rumah ibadat dan premis-premis lain.

“Kerjasama orang ramai juga amat diharapkan bagi menyalurkan maklumat berhubung sebarang bentuk ancaman,” katanya merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak Serta Pelancaran Buku Pencegahan Jenayah, di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Ahad lalu, insiden serangan gereja dan beberapa hotel di Sri Lanka telah meragut lebih 200 nyawa manakala, pada 15 Mac, berlaku kejadian tembakan di Masjid Al Noor di tengah Christchurch, berhadapan Hagley Park dan Masjid Linwood di Linwood Avenue, New Zealand hingga meragut beberapa nyawa. - UTUSAN ONLINE