Pemangku Timbalan Pengarah Operasi ZMTS, Leftenan Komander Maritim Muhammad Padzly Pasrial berkata, penahanan dilakukan bot peronda maritim yang sedang melakukan rondaan operasi di sekitar perairan Pengerang.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal tangki yang berdaftar di Ulaan Batar, Mongolia itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda berumur lingkungan 23 hingga 53 tahun. Tujuh daripadanya warga Indonesia manakala selebihnya warga Myanmar dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu, dua kru kapal tangki tersebut dibawa ke pejabat ZMTS untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 Seksyen 491B (l) iaitu bersauh tanpa kebenaran.

Jelasnya, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Padzly berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara.

“Para pengusaha juga dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh,” katanya. - UTUSAN ONLINE