Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd. Yusri Hussin berkata, remaja tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada pukul 5.15 petang selepas pihaknya yang sedang menjalankan Op Pluto terserempak dengan bot jongkong dikendalikan suspek membawa muatan gula seludup itu.

“Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan gula bersubsidi tanpa dokumen yang sah daripada Pejabat Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Tawau.

“Tahanan dan barang rampasan yang dianggkarkan bernilai RM50,000 itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras serta mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.-BERNAMA