Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, penghantaran bahan yang tidak sahih kandungannya boleh menimbulkan kegusaran dikalangan masyarakat yang sangat bahaya.

“Rujuk kami dahulu (polis) atau pihak berkuasa yang berkaitan. Kami mempunyai laman Facebook dan di sana ada talian terus untuk merujuk kesahihan setiap perkara yang berlaku.

“Apabila anda (netizen) berkongsi sesuatu yang tidak pasti, ia boleh menimbulkan fitnah besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shahrudin mengeluarkan ingatan itu sebagai merujuk perkongsian meluas mengenai penemuan mayat rentung seorang wanita di Batu 8 Jalan Sook - Keningau pada Khamis yang pada awalnya disangka sebagai remaja berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang oleh keluarga pada 4 Ogos lalu.

Menurut Shahrudin, perkongsian secara meluas melalui pelbagai medium media sosial itu menimbulkan pelbagai persepsi pro dan kontra, menyaksikan terdapat sesetengah pihak khususnya pemain politik memetik kes tersebut mempunyai kaitan dengan politik.

Semalam, polis mengesahkan mayat seorang wanita yang dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah kebun di Batu 8 Jalan Sook - Keningau sebagai Sarah Israkil, 44 tahun dan seorang warga Filipina.

Seorang saksi utama Parason Pulalon yang merupakan suami kepada mangsa sedang giat diburu polis untuk membantu siasatan.

Polis mengesahkan punca pembunuhan sebagaimana keterangan keluarga terdekat mangsa berpunca cemburu. - BERNAMA