Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, ini kerana ibu jari berkenaan kini mengalami jangkitan kuman dan sekiranya disambung semula, berkemungkinan akan berlaku komplikasi pada otak.

Beliau memberitahu, bagaimanapun Mohd. Zamri masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dan keadaannya semakin baik.

"Dia masih di ICU dan telah keluar dari zon kritikal dan sudah sedar. Saya dimaklumkan, ibu jarinya tak dapat diselamatkan kerana ada jangkitan, jika dibiar akan berjangkit pada otak," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas selesai majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Marang di Dewan Seri Kapas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari 15 Ogos lalu, Mohd. Zamri cedera ditetak di belakang kepala dan jari tangan kanan dengan senjata tajam dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Cardova Residence Padang Luas, Besut.

 

Mengenai suspek, Aidi berkata, siasatan ke atas lelaki terbabit yang ditahan reman tujuh hari, masih diteruskan dan beliau turut mengesahkan suspek mengalami masalah mental.

Sementara itu, dalam majlis serah terima tugas itu, Deputi Superintenden Amran @ Mohd. Zaki Omar yang merupakan Pegawai Turus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu akan memangku tugas Ketua Polis Daerah Marang menggantikan Superintenden Mohd. Suhaimi Ali yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu. - UTUSAN ONLINE