Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak berkata, tular dalam laman sosial sebuah video membabitkan sekumpulan murid di Papar, Kota Kinabalu, Sabah yang makan gula-gula yang dikenali sebagai Smoke Candy atau Ghost Candy dikhuatiri mampu mendorong mereka terdedah kepada tabiat merokok di usia muda.

Ujarnya, gejala ini boleh memberi impak negatif kepada murid-murid yang sememangnya mudah terikut-ikut dengan benda baharu di pasaran tanpa mengetahui kesan buruk akibatnya terhadap kesihatan.

“Tindakan pengeluar dan mereka yang menjual gula-gula seumpama ini secara terbuka di pasaran dengan menjadikan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sebagai sasaran amat dikesali.

“Sesuatu perlu dilakukan segera untuk memastikan gejala tidak sihat ini daripada terus menular dalam kalangan kanak-kanak terutama ketika pihak kerajaan begitu berusaha untuk mewujudkan zon bebas rokok di seluruh negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Mengulas lanjut, Halim memberitahu, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan untuk memastikan gula-gula tersebut ditarik balik daripada pasaran walaupun belum ada kajian dilakukan terhadap kesan dan akibat buruk pengambilan gula-gula tersebut.

“Ia wajar ditarik balik dan diharamkan penjualannya kerana ia seolah-olah memberikan satu galakan atau pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk berjinak-jinak dengan rokok.

“Penjualan gula-gula itu juga dikatakan begitu berleluasa di sekitar kawasan Papar dekat sini dan dalam soal ini MCCF melihat perlunya pihak berwajib mengambil tindakan segera untuk melakukan siasatan dan mengenal pasti kesan pengambilannya,” jelasnya.

Tambah Halim, ibu bapa diminta lebih memberikan perhatian kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti tidak bermanfaat ini.-UTUSAN ONLINE