Setelah mangsa bersetuju untuk meminjam wang, suspek akan meminta dokumen periba­di bagi tujuan kononnya untuk memproses pinjaman terbabit.

Itu antara modus operandi sindiket Geng G Credit yang memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud mengakibatkan kerugian RM1.302 juta namun sepandai-pandai tupai melompat, sindiket itu tumpas apabila 11 ahlinya diberkas dalam dua serbuan di Taman Bukit Indah di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi bermula pada pukul 10 malam itu, kesemua suspek yang diberkas terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita termasuk dua remaja berusia antara 17 hingga 28 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, serbuan menerusi Ops Seagull dengan yang pertama dijalankan hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Indah 22/1 dan dua buah rumah di Taman Bukit Indah di sini.

Dzulkhairi berkata, ha­sil siasatan ke atas sindiket menggunakan nama Syarikat G Credit (Malaysia) Sdn. Bhd. ini tidak wujud dan digunakan bagi memperdayakan mangsa serta telah beroperasi dipercayai sejak enam bulan lalu membabitkan 162 kes seluruh negara.

“Mereka menggunakan modus operandi menjalankan iklan dalam media sosial untuk memperdaya mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Suspek kemudian menghubungi mangsa memberitahu pinjaman diluluskan dan mang­sa perlu membayar wang sehingga RM5,000 bagi urusan duti setem sebelum berjanji akan memasukkan pinjaman tersebut. Malangnya selepas mangsa berbuat demikian, suspek akan menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi.

Menurut beliau, selain tangkapan, polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket terbabit terma­suk lima skrip perbualan untuk menipu mangsa, 176 surat kelulusan pinjaman, 14 cek palsu serta 12 sijil setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia.

Dzulkhairi memberitahu, se­panjang tahun lalu sebanyak 53 laporan diterima berhubung kes pinjaman wang tidak wujud me­libatkan kerugian RM700,000 di daerah ini.