Dalam tangkapan berasingan yang dilakukan bermula kira-kira pukul 10 malam itu berjaya menahan enam lelaki berusia antara 17 sehingga 35 tahun di sekitar Taman Medan dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, berikutan penahanan kesemua suspek, sebanyak 120 botol ketum yang telah siap di proses bernilai RM2,400 turut dirampas.


Ujarnya, selain itu, pelbagai peralatan memproses ketum terdiri daripada empat gas petroleum cecair (LPG), dapur memasak (4) dan periuk (2) turut dirampas.

“Berdasarkan siasatan awal, geng ini telah menjalankan kegiatan ini sejak enam bulan lalu dengan memasarkan air ketum untuk pasaran penduduk setempat yang telah menjadi pelanggan tetap mereka.

“Hasil siasatan mendapati sumber daun ketum yang digunakan telah diambil dan dibawa dari sebuah negeri di utara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Ku Mashariman, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum 10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE