Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, suspek ditahan selepas mereka melakukan samun di sebuah rumah di Taman Bidara, Rahang dekat sini pada 27 Jun lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kedua-dua suspek memukul dan menyamun seorang wanita berusia 67 tahun di luar rumah tersebut dengan menggunakan batang besi sebelum melarikan beg tangan mangsa dan menyebabkan wanita itu kerugian RM2,500.

“Modus operandi suspek adalah menyamun pada waktu pagi atau petang iaitu semasa orang ramai baru pulang ke rumah.

“Suspek memang menyasarkan golongan warga emas sebagai mangsa sejak awal tahun ini kerana dianggap sebagai sasaran yang lemah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Wan Rukman berkata, suspek berusia 41 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Dusun Nyior, Rahang kira-kira pukul 3.40 petang pada 4 Julai lalu, manakala suspek kedua ditahan kira-kira pukul 6.45 petang pada hari sama di Taman Gading di sini.

Menurut beliau, polis merampas beberapa barangan daripada kedua-dua suspek termasuk sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun dan sebuah motosikal yang sebelum ini dilaporkan hilang di Rahang.

Ujarnya, polis turut merampas dua paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis heroin daripada suspek berusia 41 tahun dan ujian air kencing mendapati kedua-duanya disahkan penagih dadah jenis morfin.

Katanya, mereka ditahan reman dari 5 Julai lalu sehingga hari ini dan polis akan mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan tahan reman tersebut.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. - UTUSAN ONLINE