Kedua-dua remaja berusia 14 tahun itu ditahan di rumah masing-masing pada pukul 3 petang semalam susulan laporan yang dibuat Pengurusan Masjid Jamek Pokok Tampang selepas mendapati tabung masjid itu telah dipecahkan oleh dua lelaki kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ( SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, perbuatan dua remaja berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

"Berdasarkan rakaman CCTV , kejadian dipercayai berlaku di antara pukul antara 10.55 malam hingga 11.03 malam pada Khamis lalu.

"Suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Skuter berwarna merah telah masuk ke dalam masjid kira-kira pukul 10.55 malam dan mengumpil tabung masjid berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja berkenaan mengaku telah mencuri wang itu.

"Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua remaja berkenaan negatif dadah namun kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 380 kerana mencuri," katanya. - UTUSAN ONLINE