Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, pasangan kekasih berusia antara 20 hingga 29 tahun itu ditahan selepas polis menerima beberapa laporan kes pecah rumah serta curi kenderaan di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan mendapati geng itu terlibat dalam puluhan kes samun, curi kenderaan dan pecah rumah termasuk kes pecah taska di sekitar daerah SPU, Seberang Perai Tengah (SPT) serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah sejak tahun lalu.

"Siasatan mendapati ketua geng ini merupakan lelaki berusia 29 tahun dan mempunyai 13 rekod lampau serta dikehendaki polis berkaitan kes pecah rumah di Kubang Semang.

"Selain itu, dua lagi ahli kumpulan tersebut masing-masing mempunyai satu dan dua kes jenayah lampau," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan penahanan mereka polis merampas dua buah kereta jenis Proton Satria dan Perodua Kelisa menggunakan nombor pendaftaraan palsu dipercayai dicuri geng berkenaan untuk digunakan sebagai kenderaan ketika melakukan jenayah.

"Polis juga merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah antaranya komputer riba, televisyen, peralatan elektrik, sejumlah anak kunci dan pelbagai kad bank yang semuanya bernilai lebih RM50,000 serta spanar dan lain-lain barangan yang digunakan bagi kegiatan jenayah mereka," katanya.

Tambahnya, empat individu yang positif dadah dan tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah kedai perkakasan di sekitar daerah ini Selasa lalu selepas mereka memecah masuk sebuah kedai di Bagan Ajam di sini.

"Sasatan mendapati dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod lampau dan positif dadah ini turut terlibat dalam beberapa kes curi sarang burung walit di sekitar daerah SPU dan mereka di reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Seorang lagi suspek berusia 30-an yang berjaya melarikan diri ketika serbuan dilakukan kini sedang giat diburu,"katanya. - UTUSAN ONLINE