Portal Utusan Borneo melaporkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, mayat kedua iaitu Nurul Syahiera Salam, 13, ditemukan kira-kira pukul 7.05 pagi manakala mayat Trevince Gong, 14, ditemukan kira-kira 15 minit kemudian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di kawasan Rasau iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Susulan penemuan dua mayat terakhir kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan sekitar pukul 8 pagi semalam,” katanya.

Kelmarin, mayat pertama iaitu Trisha Janggok, 12, ditemukan terapung di kawasan jeti Pos Kawalan Bomba (PKB) oleh pihak polis yang melalui di kawasan tersebut pada pukul 2.30 petang.

Rabu lalu, media melaporkan ketiga-tiga mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang.-UTUSAN ONLINE