Dalam kejadian itu, mangsa, Siew Ji Lin, 25, yang menaiki kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk penumpang manakala pemandu kereta berkenaan cedera.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 4.46 pagi.

Menurutnya, sebanyak tujuh anggota bomba dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik sahaja tiba, kita terus mengeluarkan penumpang wanita yang tersepit dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Seorang lelaki dipercayai pemandu kereta terbabit berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Hafisham berkata, seorang pemandu maut akibat tersepit dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 424.7 Lebuh Raya Utara- Selatan Bukit Sentosa dekat sini kira-kira pukul 4.40 pagi hari ini.

Jelasnya, sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

“Kemalangan berlaku apabila satu daripada kenderaan terbabit melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler.

“Akibat daripada itu, pemandu berusia 30-an yang dikenali sebagai Saifuddin sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.- UTUSAN ONLINE