Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 47 dan 57 tahun itu ditahan antara pukul 11.15 dan 11.30 pagi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini.


Sumber berkata, suspek pertama berusia 57 tahun merupakan bekas Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Pengesanan Graduan dan Alumni di Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran Malaysia manakala seorang lagi suspek berusia 47 tahun adalah pemilik syarikat berkaitan minyak dan gas.


“Hasil siasatan SPRM mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengajian, Kolej Komuniti, Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan tiga program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia (SKK1M) serta satu program kolaborasi strategik.


“Bagaimanapun, empat program itu sebenarnya tidak dijalankan. Kedua-dua suspek akan dituduh esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.


Dalam pada itu, menurut sumber, suspek pertama akan dituduh di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 kerana dipercayai bersubahat dalam tuntutan dikemukakan.


Jelas sumber, pemilik syarikat minyak dan gas pula akan berdepan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- UTUSAN ONLINE