Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, penahanan bot-bot itu dilakukan anggota Maritim Malaysia menerusi OP IMAN di sekitar perairan Terengganu di kedudukan 104 hingga 109 batu nautika timur laut Kuala Kemaman kira-kira pukul 8.15 dan 9.05 pagi.

Menurutnya, kesemua bot nelayan asing dengan no pendaftaran KG 95858 TS dan KG 93359 TS bersama 30 nelayan Vietnam termasuk tekong berumur antara 17 hingga 60 tahun dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Beliau memberitahu, kesemua rampasan termasuk peralatan tangkapan ikan dan bot dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah.

"Selain itu, ia juga ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Ujarnya, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi khazanah laut negara daripada dicuri nelayan-nelayan asing.

Rashidilhadi menyeru orang ramai agar melaporkan kepada Maritim Malaysia mengenai sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan bot berserta nelayan asing menerusi talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. - UTUSAN ONLINE