Wakil gabungan tersebut, Mohd. Nor Hafirul Ikhram Abd. Hair berkata, laporan SPRM itu berhubung artikel yang disebar luas dari blog https://malaysiachoice.wordpress.com/2019/04/18/rasuah-balak membabitkan pegawai kanan berkenaan.

“Kami meminta SPRM menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dilakukan pengawai kanan perhutanan itu berikutan isu yang tular dalam media sosial sejak tiga hari lalu.

“Blog berkenaan mendakwa bahawa pegawai kanan itu menyalah guna kedudukan sebagai penjawat awam dengan menerima rasuah pasukan pelobi kontraktor pembalakan untuk melindungi aktiviti rangkaian pembalakan haram dan menjadi dalang monopoli konsensi balak di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nor Hafirul Ikhram berkata, laporan blog itu turut mendakwa pegawai kanan perhutanan negeri ini mengamalkan cara hidup mewah dan memiliki harta di luar kemampuan gaji penjawat awam biasa hasil daripada aktiviti haram.

“Demi kebaikan rakyat dan menyekat kroni, laporan ini dibuat bagi membolehkan SPRM memulakan siasatan bagi menyelamatkan keadaan dan memecahkan spekulasi serta menghindari persepsi negatif rakyat di negeri ini terhadap pegawai kanan terbabit.

“Jika dakwaan itu tidak berasas, pegawai berkenaan harus serah diri ke SPRM untuk diambil kenyataan dan menyangkal tuduhan ini serta menyaman penulis blog itu demi menjaga integriti dan imej jabatan perhutanan itu sendiri yang dikaitkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE