Memetik laporan Utusan Borneo, dalam operasi selama dua hari itu, kapal Vietnam ditahan di lokasi 221.4 kilometer (km) dari Tanjung Kidurong manakala kapal Thailand ditahan 142.2 km dari lokasi sama.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Macqueen Abdullah berkata, kesemua 22 kru nelayan Vietnam dan Thailand yang berumur 23 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.24 pada Isnin lalu dan 10.17 pagi, kelmarin.

“Kedua-dua kapal nelayan asing itu disyaki cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan menyamar sebagai vesel nelayan tempatan dengan melakukan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di sekitar perairan Bintulu.

“Kesemua tangkapan direman 14 hari dan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” lapor Utusan Borneo di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Shafrev, hasil rampasan tangkapan laut termasuk dua kapal dianggarkan bernilai RM2 juta.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian hotline 24 jam di Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu iaitu 086-314254.-UTUSAN ONLINE