Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman penjara setahun selepas Ahmad Faqis Ismail, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

Lelaki itu ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 30 tahun dan sembilan sebatan sejak 2012.

Sementara itu, Majistret Mohamad Izuddin Mohd. Syukri pula menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap Amireul Iqbal Muhamad, 25, yang turut mengaku bersalah.

Dia ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 21 tahun dan lapan sebatan sejak 2017.

Mahkamah memerintahkan hukuman kedua-dua tertuduh bermula selepas hukuman yang dijalani mereka sekarang tamat.

Mengikut pertuduhan Ahmad Faqis didakwa dengan sengaja mengambil peluang kepada tahanannya yang sah atas kesalahan yang dipertuduhkan atau sengaja melarikan diri dari mana-mana jagaan yang sah di sisi undang-undang bagi apa-apa kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Blok Amanah, Penjara Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11.26 malam pada 18 April lalu.

Amireul Iqbal dituduh melakukan kesalahan sama pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Ahmad Faqis Ismail diiringi keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Habibullah Mohammad Shah dan Gayathri Sambath.

Sementara itu, Ahmad Faqis diwakili peguam Ariyani Mohd. Amin manakala Amierul Iqbal tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE